Di antara cerita yang diriwayatkan mengenai para kekasih Allah atau wali Allah adalah cerita yang diberitakan oleh Zin-Nun rahimahullah, katanya:
Sekali peristiwa, saya bercadang untuk pergi ke seberang laut untuk mencari suatu barang yang saya perlukannya dari sana. Saya pun menempah suatu tempat di sebuah kapal. Bila tiba waktu kapal itu akan berangkat, saya lihat penumpang² yang menaiki kapal itu terlalu banyak sekali bilangannya, yang kebanyakkannya datang dari tempat² yang jauh, sehingga kapal itu penuh sesak dengan penumpang.
Saya terus mengamat-amati wajah² penumpang itu, dan saya terlihat di antaranya ada seorang pemuda yang sangat kacak rupanya, wajahnya bersinar cahaya, dan dia duduk ditempatnya dalam keadaan tenang sekali, tidak seperti penumpang² lain, terus mundar-mandir di atas kapal itu. Udara di atas kapal itu agak panas, meskipun angin laut bertiupan, barangkali panasnya datang dari sebab terlalu banyak penumpang yang berhimpit-himpit di antara satu dengan yang lain.
Pada mulanya kapal itu berlayar dengan lancar sekali, kerana barangkali lautnya tenang tidak bergelombang, dan angin pun tidak bertiup kencang, kecuali sekali sekala saja, dan kalau ada pun hanya ombak² kecil biasa yang dihadapinya.
Dalam keadaan yang begitu tenang di atas kapal itu, tiba² kami dikejutkan oleh suatu pemberitahuan umum yang mengatakan bahawa nakhoda kapal itu telah kehilangan suatu barang yang sangat berharga, dan hendaklah semua penumpang² kapal duduk ditempat masing², kerana suatu penggeledahan akan dijalankan tidak lama lagi untuk mencari barang yang hilang itu.
Kini penumpang² kapal kecoh berbicara antara satu dengan yang lain mengenai barang yang hilang itu. Masing² cuba mengeluarkan pendapat bagaimana barang itu boleh hilang.
Saya sendiri merasa hairan bagaimana barang nakhoda itu boleh hilang? Apakah dicuri orang? Ataupun barangkali keciciran kerana manusia di atas kapal itu terlalu banyak. Sebentar lagi nakhoda kapal itu mengumumkan:
"Semua penumpang hendaklah berada di tempatnya. Sekarang kami akan memulakan penggeledahan!".
Penggeledahan pun dimulakan oleh beberapa orang pegawai kapal itu. Penumpang² itu semuanya ribut, baik lelakinya mahupun wanitanya. Mereka digeledah satu satu dengan cukup rapinya. Begitu pula tempat tidur mereka dibentang dan diraba, kalau² barang itu disembunyikan dicelah²nya. Namun barang itu masih belum diketemuinya lagi.
Akhirnya sampailah giliran tempat si pemuda tampan untuk digeledah. Pada mulanya pemuda itu duduk di tempatnya dengan tenang sekali. Tetapi oleh kerana dia adalah orang yang terakhir yang diperiksa, maka muka² orang ramai seolah-olah mengancam memerhatikannya. Mungkin ada orang yang mengatakan di dalam hatinya, barangkali pemuda inilah yang mencuri barang itu.
Apabila pemuda itu dikasari oleh pegawai² kapal tersebut dalam pemeriksaannya, dia lalu melompat ke tepi lalu memprotes:
"Saya bukan pencuri, kenapa saya dilakukan begitu kasar?"
Lantaran pemuda itulah satu-satunya orang yang membantah, maka disangka oleh pegawai² kapal itu dialah pencuri barang itu. Mereka mahu menangkapnya, maka pemuda itupun meronta lalu menerjunkan diri ke muka laut. Orang ramai menyerbu ke pinggir kapal hendak melihat pemuda yang terjun ke dalam laut itu. Yang menghairankan bahawa pemuda itu tidak tenggelam, malah dia duduk di atas muka laut, sebagaimana dia duduk di atas kerusi dan tidak tenggelam. Pemuda itu lalu berkata dengan suara yang keras:
"Ya Tuhanku! Mereka sekalian menuduhku sebagai pencuri! Demi Zat-Mu, wahai Tuhan Pembela orang yang teraniaya, perintahkanlah kiranya semua ikan-ikan di laut ini supaya timbul dan membawa di mulutnya permata-permata yang berharga!"
Penumpang² terus merenungkan pandangan mereka ke laut sekitar kapal itu ingin melihat jika benar ikan-ikan itu akan timbul membawa di mulutnya permata-permata yang berharga? Saya juga ikut memerhatikan permukaan air itu.
Memang benar, dengan kuasa Allah, permintaan pemuda itu dikabulkan Tuhan, timbul disekitar kapal itu beribu-ribu ikan dan kelihatan dimulutnya batu-batu putih dan merah berkilau-kilauan cahayanya, sehingga membuat mata-mata yang memandangnya silau kerananya. Semua orang di situ bersorak menepukkan tangan kepada pemuda itu.
Saya terus tercengang, tidak dapat mengatakan apa-apa pun. Nakhoda kapal dan pegawai-pegawainya bingung, seolah-olah dia tidak percaya apa yang dilihatnya.
"Apakah kamu masih menuduhku pencuri, padahal perbendaharaan Allah ada di tanganku, jika aku mahu boleh aku ambil?"
Pemuda itu kemudiannya memerintahkan ikan-ikan itu supaya kembali ke tempatnya, maka tenggelamlah semula semua ikan-ikan tadi, dan orang-orang di atas kapal itu terus bersorak lagi.
Pemuda itu lalu berdiri di atas air itu, kemudian berjalan di atasnya secepat kilat sementara lisannya terus mengucapkan: "Hanya kepadaMu lah aku menyembah, dan hanya kepadaMu pula aku meminta bantuan."(Surah Al-Fatihah:4)
Dia terus menjauhi kami, sehingga hilang dari pandangan kami.
Saya sama sekali tidak menduga, bahawa pemuda ini kemungkinan termasuk ke dalam golongan ahli Allah, yang pernah diterangkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabdanya yang bermaksud:
"Akan tetap ada dalam ummatku sebanyak tiga puluh orang lelaki, hati-hati mereka sepadan dengan hati Nabi Allah Ibrahim A.S. setiap mati seorang di antara mereka, akan diganti Allah seorang lain di tempatnya".
No comments:
Post a Comment