Saturday, April 14, 2012

Antara hak asasi manusia dan kehendak agama..


Asalamualaikum.
Baru-baru ini kita dihebohkan dengan pembongkaran tentang masalah gay dan lesbian di negara kita.dan ada juga terjadi kes perkahwinan sama jantina.Bagi golongan-golongan ini, mereka menggunakan alasan atas nama hak asasi manusia untuk melakukan perkara yang salah dan bertentangan dengan agama islam ini.
Kalau kita lihat rakyat Malaysia mempunyai hak asasi sebagai manusia yang dilindungi undang-undang. Hak asasi ialah asas kepada kebebasan, keadilan dan keamanan dunia. Pengabaian hak asasi manusia akan mengakibatkan kemusnahan kepada alam dan penghuninya.
Hak asasi atas nama manusia semata-mata berbeza dengan hak asasi atas nama manusia beragama Islam atau agama lain di dunia. Contohnya, setiap manusia mempunyai kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan mengikut agama dianuti, tetapi kebebasan beragama ini tidak terpakai kepada ‘manusia yang beragama Islam’ kerana kepada setiap Muslim, menukar agama bukan hak tetapi satu kesalahan.
Hakikat ini bukan menidakkan kesamarataan antara manusia tetapi kerana sifat hak asasi itu sendiri yang tertakluk kepada kebebasan beragama. Justeru, pengamalan hak asasi perlu mengikut garis panduan yang dibatasi kepercayaan dan justifikasi perbezaan hak dan tanggungjawab.
Agama Islam menjamin hak setiap manusia. Hak asasi setiap Muslim tertunai apabila tanggungjawab terhadap Allah SWT dan Muslim lain turut ditunaikan. Tiada siapa yang layak menuntut hak sekiranya tidak mahu melangsaikan tanggungjawab.
Seorang rakyat contohnya, hanya layak mendapat hak sebagai warga negara apabila tanggungjawab terhadap pemerintah ditunaikan. Begitu juga pemimpin negara, ketua rumah tangga mahupun seorang abang kepada adik.
Sifat terpenting hak asasi seperti termaktub dalam deklarasi antarabangsa hak asasi manusia bersumberkan al-Quran dan Sunnah seperti ‘Universal Islamic Declaration of Human Rights 1981’ dan ‘Cairo Declaration of Human Rights in Islam 1990’ dan Barat seperti ‘Universal Declaration of Human Rights 1948’ adalah keterbatasan hak itu.
Kebebasan tanpa batas seperti yang sering dilaungkan apabila manusia menuntut hak individu sangat bercanggah dengan sifat hak asasi yang berasaskan kebebasan individu dan keadilan masyarakat. Memang benar hak asasi mempertahankan hak setiap individu, tetapi sekiranya hak individu menafikan hak masyarakat, hak individu harus diketepikan untuk menjamin keadilan yang lebih penting dan manfaat yang lebih besar.
Hari ini, ramai yang memahami hak asasi dalam konteks hak tanpa batasan. Sebab itu sekatan ke atas hak asasi individu yang bertujuan menjaga gangguan lebih besar dikatakan penafian hak asasi dan perlu ditentang.
Apabila mahkamah tidak membenarkan permohonan pertukaran agama Islam kepada agama lain contohnya, mahkamah dan sistem kehakiman dikatakan membelakangi Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak asasi serta kebebasan beragama, sedangkan hak itu tidak terpakai kepada penganut Islam.
Selain keterbatasan dalam hak individu, sifat hak asasi manusia dalam sesebuah negara juga tertakluk kepada kepercayaan agama, sosial, ekonomi dan budaya dalam negara itu. Sebab itu hak asasi dalam Deklarasi Antarabangsa bersifat umum, kerana ia bertujuan memberi peluang kepada negara di dunia merangka hak asasi dalam konteks setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan objektif dan tujuan hak asasi manusia.
Apabila negara di Barat mengiktiraf hak untuk mengamalkan gaya hidup songsang seperti gay, lesbian, biseksual dan transeksual, ia bukan bermaksud hak ini sebagai hak asasi manusia secara umum, tetapi hak asasi manusia yang bukan Islam di Barat.
Pengiktirafan itu sesuai dengan gaya hidup dan kepercayaan (bukan agama) di Barat bahawa perbezaan manusia tidak boleh diukur dengan perbezaan seksual. Di Barat, seseorang yang pembinaan sosialnya lebih terarah kepada sifat perempuan dan feminin akan diiktiraf sebagai perempuan walaupun sifat biologinya lelaki dan begitulah sebaliknya.
Justeru, di atas kepercayaan itu, mereka mengiktiraf hubungan atau perkahwinan sesama jenis dan hubungan tanpa batasan jenis seksual. Mereka menganggap beza setiap manusia ialah pada emosi serta pembinaan sosial yang menjadikan mereka feminin atau maskulin.
Saya percaya bahawa dalam konteks negara Malaysia, hak untuk mengamalkan gaya hidup songsang bukan hak asasi manusia untuk rakyat Malaysia dan tidak pernah termaktub di dalam undang-undang.
Sebarang sokongan untuk menyedarkan masyarakat bahawa golongan gay, lesbian, biseksual dan transeksual patut diberi pengiktirafan tidak wajar dilakukan kerana ia bertentangan dengan kepercayaan agama dan budaya setempat.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 80-81 bermaksud: “Dan Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.
Negara tidak akan menjadi mundur jika golongan gay, lesbian, biseksual dan transeksual tidak diberi pengiktirafan undang-undang mahupun sosial, bahkan ia meningkatkan imej dan identiti negara ini yang mempunyai wibawa yang berbeza dengan negara lain.
Pemikiran baru yang menyongsang identiti Malaysia ini mungkin mendapat sokongan landskap antarabangsa berstatus liberal serta ingin mengganggu gugat masyarakat Malaysia yang tidak memisahkan agama dalam cara hidup.
Perlu diingat, walaupun sebahagian besar kuasa Barat mengiktiraf kebebasan orientasi seksual dan identiti gender, terdapat pandangan lebih realistik di kalangan mereka yang menafikan pencabulan fitrah seksual manusia. Jangan pula kita yang lebih Barat daripada Barat!

No comments:

Post a Comment