Saturday, April 14, 2012

Bab Tauhid

A. PENGERTIAN AGAMA

Agama ialah Petunjuk Tuhan untuk mengetahui kehidupan dan penghidupan serta keperluan manusia seluruhnya dipermukaan bumi yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul yang didasarkan atas iman dan takwa.

1. Mengapa Agama Itu Perlu
Allah SWT menciptakan manusia dengan kelengkapan alat agar mereka dapat menjalani hidup di dunia ini dengan cara yang betul dan sesuai dengan tabiat manusia itu sendiri.
Mereka dilengkapkan dengan hawa nafsu untuk menjadikan manusia itu sebagai golongan yang sederhana tidak meningkat ke taraf malaikat dan tidak turun darinya sehingga menjadi haiwan. Manusia itu dibekalkan dengan akal fikiran.
Hawa nafsu sentiasa memujuk, mengajak manusia melakukan sesuatu tanpa memikirkan apakah akibat yang akan menimpanya. Nafsu akan berjalan terus, umpamanya, akan memakan sesuatu tanpa memikirkan apakah benda itu boleh dimakan atau sebaliknya. Dengan itu Allah memberi mereka akal sehingga ia perlu kepada petunjuk yang tidak sampai terfikir oleh akal sehingga ia perlu kepada petunjuk Allah yang memberi petunjuk ke arah jalan yang sebenarnya. Bukan semua perkara dapat difikirkan oleh akal yang cetek ini.
Dengan itu, akal ini perlu kepada agama sebagai suatu jalan ke arah kejayaan dunia sehingga ke akhirat.

2. Apa Dia Agama Islam
Islam merupakan suatu agama yang dibawa oleh para Rasul a.s. dan Nabi Muhamad s.a.w. pembawa agama yang terakhir yang datangnya dari Allah SWT. Nabi Muhammad s.a.w adalah penyudah segala Rasul dan tiada lagi nabi sesudahnya.
Maka Agama Islam dapatlah diertikan sebagai:
Petunjuk Allah s.w.t yang terakhir yang disampaikan oleh Rasul yang bernama Muhamad s.a.w untuk menggantikan semua peraturan serta petunjuk yang disampaikan sebelumnya. Petunjuk seluruh dunia untuk selamanya.

3. Tujuan Agama Islam
Tidak dapat dinafikan bahawa Islam itu mempunyai tujuan yang sangat banyak; memadailah diringkaskan di sini sekadar yang agak perlu. Antara lain tujuannya ialah:
a. Memperbaiki kepercayaan kepada zat Allah Yang Maha Esa.
b. Memperkukuhkan lagi keyakinan terhadap pencipta alam ini.
c. Menghapuskan kepercayaan kepada yang lain selain daripada Allah SWT.
d. Menghapuskan penyembahan kepada berhala dan benda-benda.
e. Memberi petunjuk bagaimana cara mengabdikan diri kepada Allah.
f. Mengatur cara beribadat.
g. Mengatur cara-cara perhubungan kehidupan manusia.
h. Mengatur hukum-hukum keseksaan atau jenayah yang sesuai dengan manusia.
i. Menegakkan keadilan dan keturunan.
j. Mengatur hukum kekeluargaan dan keturunan.
k. Mempertinggikan akhlak manusia.
l. Mengatur hukum-hukum yang berhubung dengan kebendaan.


4. Rukun Islam

1. Mengucap dua kalimah syahadat
2. Mendirikan solat lima waktu sehari semalam
3. Menunaikan zakat harta dan zakat badan
4.Puasa pada bulan Ramadan
5. Mengerjakan Haji ke Baitulllahi-haram di Mekah
Rukun ertinya tiang yang perlu memerlu antara satu sama lain. Tiap-tiap rukun itu mestilah ada sehingga menyebabkan tertegaknya Islam yang sempurna.

Rukun Islam itu ada lima (5) perkara:

i.Mengucap dua kalimah syahadah iaitu:

Ertinya: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Syahadat ini hendaklah dilafazkan atau disebut dengan lidah dan ditasdiqkan atau diingatkan dengan tetap didalam hati.

ii. Mendirikan shalat lima waktu sehari semalam iaitu;
(a) Zuhur - sebanyak empat (4) rakaat
(b) Asar - sebanyak empat (4) rakaat
(c) Maghrib - sebanyak tiga (3) rakaat
(d) Isyak - sebanyak empat (4) rakaat
(e) Subuh - sebanyak dua (2) rakaat

iii. Menunaikan zakat harta dan zakat badan
Zakat harta yang wajib dikeluarkan apabila cukup nisab atau bilangan dan cukup satu tahun atau haul. Harta-harta yang dikenakan zakat harta adalah seperti:
(a) Binatang ternakan
(b) Emas dan perak
(c) Tanaman sepeti padi, jagung, tamar, gandum dan sebagainya
(d) Buah-buahan seperti anggur dan sebagainya
(e) Harta karun.
Zakat badan ataupun zakat fitrah merupakan zakat barang makanan yang mengenyangkan bagi tiap-tiap negeri-negeri apabila cukup bulan Ramadan bagi setiap orang Islam apabila mempunyai kelebihan makanan pada malam 1 Syawal dan siangnya untuk dirinya dan orang-orang yang dibawah tanggungannya.

iv. Puasa pada bulan Ramadan
Walau bagaimanapun bagi mereka yang berikut dikecualikan dari berpuasa iaitu:
(a) Orang yang sakit, sekiranya ia berpuasa juga menyebabkan bertambah mudarat atau lambatnya sembuh.
(b) Orang yang sedang dalam perjalanan yang lebih dari 56 batu (tetapi kalau tidak menyusahkan maka meneruskan puasa adalah lebih baik dengan syarat dari bertolak itu hendaklah sebelum subuh).
(c) Orang perempuan yang sedang mengandung.
(d) Orang perempuan yang sedang menyusu anak.

v. Mengerjakan haji ke Baitullahil-haram di Mekah al-Mukaramah bagi mereka yang berkemampuan dari segi:
(a) Belanja pergi dan balik
(b) Belanja orang yang menjadi tanggungannya yang tinggal.
(c) Kesihatannya.
(d) Keselamatan jalan dan keselamatan kenderaan yang dinaikinya.
(e) Sempat masa perjalanan mengikut perjalanan biasa.


B. PENGERTIAN IMAN

Iman ertinya kepercayaan, iaitu mempercayai dengan penuh keyakinan terhadap Allah SWT, Rasulullah s.a.w. iaitu Nabi Muhammad s.a.w., serta apa yang dibawanya dari Allah SWT, serta mempercayai Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul serta Nabi-Nabi yang terdahulu, hari Akhirat atau hari kebangkitan dan Qadak serta Qadar.
Mereka yang mempunyai kepercayaan seumpama ini disebut sebagai mukminin atau mukminat bagi pihak perempuan.

1. Rukun Iman

1. Percaya Kepada Allah
2. Percaya Kepada Malaikat
3. Percaya Kepada Kitab-Kitab
4. Percaya Kepada Rasul-Rasul
5. Percaya Kepada Hari Kiamat
6. Percaya Kepada Qadak dan Qadar

Rukun Iman ada enam (6) perkara:
i. Percaya kepada Allah SWT.
ii. Percaya kepada Malaikat-Malaikat.
iii. Percaya kepada Kitab-Kitab.
iv. Percaya kepada Rasul-Rasul.
v. Percaya Hari Kiamat/Hari Pembalasan.
vi. Percaya Qadak dan Qadar.

i. Percaya kepada Allah SWT.
Maksudnya mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang menciptakan alam ini dan Dialah yang berhak disembah. Ringkasnya mempercayai adanya Allah SWT sebagai pencipta alam dan tidak memperhambakan diri dalam segala amalan dunia atau akhirat melainkan keranaNya Seterusnya mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan.

ii. Percaya kepada Malaikat-Malaikat.
Mempercayai bahawa Allah SWT mempunyai pesuruh-pesuruh yang sentiasa patuh dan taat menjalankan segala titah perintahNya. Mereka itulah yang disebut Malaikat yang bukan manusia dan bukan binatang diciptakan begitu rupa tanpa mempunyai nafsu tetapi berakal yang tidak sekalipun menderhakai Allah SWT. Mereka tidak lelaki dan tidak perempuan, bukan jin dan bukan syaitan iainya dijadikan daripada nur atau cahaya. Jumlah Malaikat ini tidak terhingga banyaknya.



Sepuluh (10) Malaikat yang wajib diketahui dan tugas-tugasnya:
Malaikat-Malaikat dan Tugas-tugasnya
(i) Jibrail `alaihissalam - bertugas menyampaikan wahyu.

(ii) Izrail `ailaihissalam - bertugas mencabut nyawa.
(iii) Mikail `alaihissalam - bertugas memberi rezeki.
(iv) Israfil `alaihissalam - bertugas meniup sangkakala.
(v) Mungkar `alaihissalam - bertugas menyoal ahli kubur.
(vi) Nakir `alaihissalam - bertugas menyoal ahli kubur.
(vii) Raqib `alaihissalam - bertugas menulis kebajikan.
(viii) 'Atid `alaihissalam - bertugas menulis kejahatan.
(ix) Malik `alaihissalam - bertugas menjaga neraka.
(x) Ridhwan `alaihissalam - bertugas menjaga syurga.

iii. Percaya Kitab-Kitab
Kitab ini ialah suatu undang-undang dasar atau sebagai pendoman dalam memberikan pedoman atau pengajaran kepada manusia yang hendak dipimpin. Kitab ini diberikan kepada para Rasul utusan Allah. Tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai kitab wajib mereka itu mengikut dasar kitab yang terdahulu daripadanya.
Kitab-kitab terbahagi kepada dua (2) iaitu:
(a) Suhuf
(b) Kitab

Suhuf
Suhuf ini hanya merupakan pendoman yang tidak begitu jelas dari segi kandungannya hanya penjelasan hukum-hukum dasar yang perlu diterangkan kepada manusia umumnya. Suhuf ini diturunkan berjumlah 100 buah iaitu diberikan kepada:


Nabi-Nabi s.a. Bilangan Suhuf
(i) Nabi Allah Shith alaihissalam 50 Suhuf
(ii) Nabi Allah Idris alaihissalam 30 Suhuf
(iii) Nabi Allah Ibrahim alaihissalam 10 Suhuf
(iv) Nabi Allah Musa alaihissalam 10 Suhuf

Kitab

Kitab merupakan satu peraturan yang lengkap meliputi peraturan dan dasar-dasar ketuhanan baik yang berhubung dengan dunia mahupun dengan akhirat, yang berhubung dengan zahir mahupun yang batin.Kitab yang diturunkan berjumlah empat (4) buah iaitu:

(i) Taurat - diturunkan kepada Nabi Allah Musa alaissalam.

(ii) Zabur - diturunkan kepada Nabi Allah Daud alaissalam.

(iii) Injil - diturunkan kepada Nabi Allah Isa alaissalam.

(iv) Al-Quran - diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a. w.

Setelah Al-Quran diturunkan, maka kitab-kitab sebelumnya terbatal dengan sendirinya. Umat Muhammad s.a.w kini hanya menggunakan Al-Quran sebagai sumber peraturan dan undang-undang. Kitab-kitab terdahulu tidak boleh dipakai lagi kerana peraturan yang tercatat hanya sesuai ketika itu sahaja dan banyak berlaku ubahsuai oleh orang yang berkepentingan peribadi. al-Quran adalah diturunkan sesuai untuk semua zaman dan keadaan dan terpakai sehingga akhir zaman.

iv. Percaya Kepada Rasul-Rasul.
Sesungguhnya Allah SWT telah mengutuskan dua jenis manusia untuk memberi pedoman dan pengajaran serta mengajak manusia supaya mengesa dan beribadat terhadap Allah SWT dan melakukan perbuatan yang baik untuk mencapai kejayaan dunia sehinggalah hari akhirat. Mereka ini adalah:
(i) Nabi-Nabi
(ii) Rasul-Rasul

(i) Nabi-Nabi
Nabi ialah seorang manusia lelaki yang merdeka yang diwahyukan oleh Allah SWT supaya dia melakukan perbuatan yang baik hanya untuk dirinya sendiri dan tidak pula disuruh untuk menyampaikan kepada orang lain. Faedahnya mereka ini adalah menjadi tauladan kepada yang lain atau kaumnya. Jumlah sebenarnya bilangan Nabi-Nabi dan Rasul adalah terserah kepada Allah SWT. Menurut keterangan didalam riwayat Mardawih bahawa jumlah Nabi-Nabi adalah sebanyak 124,000 orang. Sementara yang menjadi rasul sebanyak 313 orang sahaja.Didalam Al-Quran disebut dua puluh lima (25) orang Rasul.

(ii) Rasul-Rasul
Rasul adalah seorang manusia lelaki merdeka yang diwahyukan oleh Allah supaya dia beramal untuk dirinya sendiri seterusnya menyampaikan kepada kaumnya, umatnya atau orang lain. Setiap nabi tidaklah Rasul tetapi setiap Rasul adalah Nabi.

25 Nama-Nama Rasul
Nama-nama Rasul yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam yang mukmin hanya 25 orang sahaja sebagaimana berikut:


1. Adam a.s.
2. Idris a.s
3. Nuh a.s.
4. Hud a.s.
5. Salih a.s.
6. Ibrahim a.s.
7. Lut a.s.
8. Ismail a.s.
9. Ishak a.s.
10. Yaakub a.s
11. Yusuf a.s.
12. Ayub a.s.
13. Syuib a.s.
14. Musa a.s.
15. Harun a.s.
16. Zulkifli a.s
17. Daud a.s
18. Sulaiman a.s
19. Ilyas a.s.
20. Ilyasa' a.s
21. Yunus a.s
22. Zakaria a.s
23. Yahya a.s.
24. Isa a.s.
25. Muhammad s.a.w.


v. Percaya Kepada Hari Kiamat/Hari Pembalasan.
Masalah yang berhubung dengan hari kiamat amat panjang huraiannya tetapi memadailah didalam buku pedoman ini disentuh.Perkara-perkara yang berhubung dengan hari kiamat adalah bertolak dari kepercayaan kepada:
(i) Adanya mati.
(ii) Pembalas di kubur- azab atau nikmat.
(iii) Hari kebangkitan setelah dunia ini dihancurkan kesemuanya.
(iv) Hari Mahsyar- kesemua manusia, jin akan dikumpulkan disuatu padang disebut Padang Mahsyar.
(v) Dihisab segala amalan baik dan buruk dengan timbangan yang adil.
(vi) Meniti titian.
(vii) Ke Syurga atau ke neraka.

Maksud Firman Allah SWT;
"Sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang tidak syak lagi padanya. Sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang-orang yang berada didalam kubur".
Setiap orang akan merasai mati. Mati ertinya nyawa sebagai amanah Allah SWT dipisahkan dari badan.Kembalilah kejadian manusia kepada tanah menurut kejadian asal.Hubungannya dengan alam zahir akan terputus, hanya perbuatan amalan sahaja diberikan pertimbangan di alam kubur. Tiga perkara yang dapat dihitungkan iaitu:
(a) Harta wakaf
(b) Ilmu pengetahuan yang dipergunakan oleh orang yang tinggal didunia.
(c) Anak yang solih yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibubapanya.
Perlu diingatkan bahawa tidak dapat dibayangkan bagaimana cara menimbang dosa dan pahala. Cukuplah diyakini bahawa dengan penuh keimanan cara timbangan itu kepada kuasa Allah SWT.
Firman Allah didalam surah Al-Qari'ah ayat 6-9 bermaksud:
"Sesiapa yang berat timbangan pahalanya maka ia dimasukkan ke dalam kehidupan yang diredai dan sesiapa yang ringan timbangan pahalanya maka mereka inilah akan mendapat neraka Hawiah. Apakah engkau mengetahui ya Muhammad apakah dia neraka Hawiah? Itulah dia neraka yang sangat panas"
Syurga ialah tempat yang indah bagi mereka yang beriman dan sentiasa patuh serta taat kepada perintah Allah didunia. Kesenangan didalamnya amatlah berbeza sekali dengan apa yang dinikmati didunia dan tidak dapat dibayangkan oleh hati manusia. Keadaan yang digambarkan oleh al-Quran sebagaimana berikut:
(a) Tidak akan tua.
(b) Tidak gugur giginya
(c) Tidak berkedut kulitnya
(d) Tidak ada buang air besar atau kecil.
(e) Tidak ada haid
(f) Tidak ada daki.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bermaksud:
"Didalamnya terdapat kesenangan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dihati".

C. SYAHADAT DAN RUKUNNYA
Syahadat ertinya penyaksian atau pengakuan seseorang terhadap sesuatu. Apabila seseorang itu mengucapkan syahadat bererti ia telah mengaku dengan lidahnya mengenai sesuatu perkara.

1. Fardu Syahadat
Fardu Syahadat itu terbahagi dua;
(i) Diikrar dengan lidah
(ii) Ditasdiq dengan hati
Setiap syahadat itu hendaklah diakui terutama bagi orang yang bukan Islam yang baru memeluk Islam iaitu hendaklah lidahnya mengucapkan penyaksian itu sama ada didalam bahasa Arab ataupun bahasanya sendiri, dengan melafazkan:
Maksudnya;
"Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya nabi Muhammad itu pesuruh Allah"

2. Syarat Sah Syahadat:
Syarat sah syahadat adalah empat perkara:
(i) Diketahuinya.
(ii) Diikrar dengan lidah atau pengakuan dengan lidah.
(iii) Ditasdiqkan dengan hati.
(iv) Diamalkan dengan anggota.

D. PERBEZAAN ANTARA IMAN, ISLAM, KAFIR, MURTAD DAN MUNAFIK

1. IMAN
Ertinya kepercayaan yang terbitnya dari hati seseorang iaitu mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah benar datangnya dari Allah SWT. Maka ilmu yang dipelajari adalah untuk menyempurnakan pengenalan iman. Maka orang lelaki yang beriman disebut mukmin dan orang perempuan yang beriman disebut mukminah.

2. ISLAM
Islam ertinya tunduk dan patuh menurut segala apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Lelaki disebut muslim dan perempuan disebut muslimah. Iman dan Islam tidak boleh dipisahkan atau diceraikan untuk mendapat kelepasan azab di hari akhirat nanti.

3. KAFIR
Kafir ialah orang yang mengingkari kebenaran agama Islam tidak mengetahui ketuhanan Allah Yang Maha Esa dan tidak mengetahui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir ini boleh memeluk Islam apabila ia merasa yakin akan ketuhanan Allah dan kebenaran Rasulullah s.a.w dengan hanya mengucapkan dua kalimah syahadah.

4. MURTAD
Murtad secara umumnya bolehlah ditakrifkan iaitu seorang Islam yang telah terkeluar dari agama Islam baik secara langsung atau tidak. Samada ia kembali kepada agama asalnya atau menganut agama lain ataupun tidak menganut mana-mana agama. Orang murtad, segala amalan pahala amalannya akan gugur dan diberikan pembalasan dengan dimasukkan ke dalam api neraka buat selama-lamanya.
Maksud firman Allah didalam surah al-Baqarah 217:
"Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya (yakni dari agama Islam ) kemudian ia mati di dalam kekafirannya itu maka gugurlah segala amalan mereka didunia dan akhirat. Mereka akan menjadi penunggu neraka dan kekal didalamnya buat selama-lamanya".
Di antara sebab seseorang itu menjadi murtad adalah:
• Sujud atau tunduk kepada berhala secara pilihan sendiri bukan kerana paksaan.
• Menghina atau memperkecilkan sesuatu yang dimuliakan oleh agama seperti nama Allah yang mulia, sifat-sifat Allah, al-Quran, Hadis Nabi s.a.w., hukum syarak, Rasul-rasul, perintah laranganNya dan sebagainya.
• Mengucapkan sesuatu ucapan kekafiran yang biasanya ucapan itu menyebabkan orang menyangka ia telah kafir atau dengan terang-terang orang itu mengatakan yang dirinya telah menjadi kafir atau keluar dari Islam hal keadaannya secara ikhtiar atau pilihan diri bukannya paksaan.

5. MUNAFIK
Munafik ialah orang yang menurut zahirnya beragama Islam tetapi hatinya, jiwanya tidak beriman. Atau bolehlah dikatakan munafik orang yang berpura-pura beragama islam tetapi hatinya tidak sama dengan apa yang diucapkan.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu kaum munafik ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Orang munafik atau berpura-pura ini telah dijanjikan oleh Allah SWT akan dimasukkan ke dalam api neraka jahanam.
Maksud firman Allah didalam surat al-Taubat 68:
"Allah SWT telah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan, begitu juga orang-orang kafir akan dimasukkan ke dalam api neraka jahanam kekal mereka itu didalamnya. itu cukup untuk mereka. Allah mengutuk (menjauhkan dari rahmatnya) mereka dan bagi mereka itu diberikan seksa yang tetap"
Maksudnya firman Allah didalam surah al-Nisak 145:
"Sesungguhnya orang-orang yang munafik itu (ditempatkan) pada tingkat bawah sekali dari (di dalam) nereka dan sekali-kali mereka tidak diberi pertolongan"

wallahu a`lam...

No comments:

Post a Comment