Thursday, November 3, 2011

Kesaksian Kaum Muslimin kepada Rasulullah s.a.w pada hari Arafah

Pada tahun ke 10 Hijrah, Nabi Muhammad berasa bahagia kerana baginda berjaya menyampaikan seluruh risalah Tuhan. Pada waktu itu, agama islam tersebar ke seluruh pelosok wilayah Arab. Delegasi dari banyak negara datang menghadap nabi bagi memohon penjelasan perihal ajaran Islam. Nabi tidak henti-henti mengajar, membimbing dan menjelaskan kepada mereka perihal risalah yang dibawanya.

Tidak berapa lama selepas itu, Nabi Muhammad mengajak kaum muslimin di Madinah menunaikan ibadah haji di Mekah. Ibadah haji itu adalah haji Wida’ iaitu ibadah haji terakhir yang nabi kerjakan. Dikatakan, kira-kira 114,000 orang menyertai rombongan haji itu. Disepanjang perjalanan, mereka mengucapkan talbiah yang berbunyi, ‘Labbaik Allah hummalabbaik, Labbaik laa syariika laka labbaik, Innal hamda wanni’mata laka wal mulk laa syariika laka Labbaik.’ Yang membawa maksud ‘Aku memenuhi panggilanmu, tidak ada sekutu bagiMu. Aku sentiasa menerima perintahMu, sesungguhnya segala pujian dan kenikmatan hanyalah milikMu, begitu juga segala kerajaan. Tidak ada sekutu bagiMu. Aku memenuhi panggilanMu dengan setia dan bersedia menerima perintahMu.’

…………………..

Suatu hari di hari Arafah Nabi berdiri di atas untanya dan berkhutbah,”Wahai manusia, adakah kamu mengetahui bulan apakah sekarang dan hari apakah sekarang serta di negeri manakah kamu berada?”

Mereka berkata,”Kami berada pada hari haram, bulan haram dan negeri haram.”

Nabi melanjutkan,”Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu. Begitu juga hari, bulan dan negeri kamu adalah haram. Kelak kamu berjumpa Tuhan kamu dan Dia bertanya perihal amal-amal yang kamu lakukan. Bukankah aku pernah menyampaikan hal itu kepada kamu?”

Mereka menjawab,”Ya”

Nabi berkata, “Ya Allah, saksikanlah olehMu.”

Suasana menjadi hening. Semua hadirin mendengar dan merasakan khutbah nabi kali ini begitu istemewa.

Kemudia nabi menyambung, “Ingatlah, sesiapa mempunyai amanat, sampaikanlah kepada orang yang dipercayai bagi memegang amanat itu. Ketahuilah, semua riba’ pada zaman jahilliah adalah maudhu’ dan darah orang jahilliah itu juga maudhu’. Bukankah aku pernah menyampaikan hal ini kepada kamu?”

Mereka menjawab serenta, “Ya”
Sekali lagi Nabi Muhammad memohon kesaksian Allah,”Ya Allah, saksikanlah olehMu.”

Selepas terdiam sebentar, nabi melanjutkan khutbahnya, “Janganlah kamu mezalimi diri kamu sendiri dan janganlah kembali kepada kekufuran selepas ketiadaanku. Janganlah sebahagian daripada kamu membunuh sebahagian yang lain. Bukankah aku pernah menyampaikan hal ini kepada kamu?”

“Ya” jawab mereka.

Sekali lagi nabi memohon kesaksian Allah, “Ya Allah, saksikanlah olehMu.”

Selepas itu nabi menyambung lagi, “Wahai manusia, sesungguhnya wanita-wanita kamu miliki hak keatas kamu dan kamu memiliki hak keatas mereka. Bertakwalah kamu semua kepada Allah dalam urusan wanita dan berwasiatlah kepada mereka dengan baik. Bukankah aku pernah menyampaikan perihal ini kepada kamu?”

Mereka menjawab “Ya”

Kemudia nabi berkata, “Ya Allah, saksikanlah olehMu.”

Sambil menarik nafas, kaum mukmin yang hadir pada waktu itu terus menanti apakah yang hendak disampaikan oleh nabi mereka. Tidak lama selepas itu Nabi Muhammad berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Tidak halal bagi seseorang harta saudaranya kecuali dengan kebaikan jiwanya. Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu juga adalah satu. Setiap daripada kamu milik Adam dan Hawa yang berasal daripada debu. Sesungguhnya orang yang mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Bukankah aku pernah menyampaikan perihal itu kepada kamu?”

Mereka menjawab,”Ya”

Nabi berkata lagi, “Ya Allah, saksikanlah olehMu.”

Pada waktu itu ada diantara kaum mukminin menitiskan air mata kerana terharu mendengar kata-kata nabi. Nabi menyambung ,Wahai manusia, sesungguhnya syaitan berputus asa dimuka bumi ini tetapi dia rela ditaati dalam perkara yang hina. Aku meninggalkan kitab suci Allah dan sunnah rasulNya. Apabila kamu berpengang teguh padanya, kamu tidak mungkin sesat selama-lamanya. Kelak kamu ditanya perihalku. Apakah yang kamu katakana?”

Mereka berkata, “Kami bersaksi, sesungguhnya Nabi Muhammad menyampaikan, melaksanakan dan menasihati kami dengan ajaran yang benar.”

Kemudian Nabi menunjukkan jari telunjuknya kearah langit dan kearah kaum muslimin dihadapannya seraya berkata, “Ya Allah, saksikanlah olehMu! Ya Allah saksikanlah olehMu! Ya Allah saksikanlah olehMu!”

PESANAN Nabi yang terakhir dalam khutbah itu berbunyi,”Orang yang mendengar pesanku pada hari ini perlu menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir. Mungkin orang yang mendengarnya nanti lebih memahaminya daripada sebahagian orang yang mendengarnya.”

Kaum muslimin yang mendengar khutbah nabi itu tertanya-tanya, “adakah kata-kata nabi itu menandakan beliau bakal meninggalkan mereka tidak lama lagi? Bukankah beliau telah menyampaikan seluruh risalah Allah pada hari ini?”

No comments:

Post a Comment