Thursday, November 3, 2011

Kisah Rasul Ululazmi

Para rasul ululazmi mengharungi pelbagai tentangan dalam menghadapi umat masing-masing pada zamannya. Dalam surah al-Ahzab ayat 7, Allah berkata “Ingatlah sewaktu Kami mengambil perjanjian daripada nabi-nabi dan engkau sendiri, Muhammad, daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam.”

Daripada kitab Ketenteraman Emha Ainun Nadjib menjelaskan Nabi Nuh melambangkan keperibadian bayi ataupun kanak-kanak yang tercermin daripada sikapnya dalam menghadapi umatnya. Beliau sering mengadu kepada Tuhannya seperti kanak-kanak yang suka mengadu semua masalah kepada ibunya. Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun kepada kaumnya, namun apa yang beliau terima hanyalah cercaan, hinaan dan cacian. Oleh sebab itu Nabi Nuh memohon Allah mengazab kaumnya dengan banjir besar. Hanya beliau dan para pengikutnya yang setia terselamat daripada banjir besar itu kerana mereka berada diatas bahtera.

Nabi Ibrahim pula ibarat seorang remaja yang sedang mencari jati diri. Nabi Ibrahim memikirkan perihal dirinya dan perihal Tuhan sewaktu beliau bersendirian di tengah hutan belantara. Beliau berusaha mencari Tuhannya kerana tidak puas hati dengan amalan kaumnya yang menyembah berhala. Nabi Ibrahim memerhati bintang, bulan dan matahari silih berganti. Nabi Ibrahim merenungkan hal ini beberapa lama dan dengan pertolongan Allah beserta kecenderungan fitrah manusia, Nabi Ibrahim akhirnya berjaya menemukan Tuhannya iaitu Allah yang Maha Mencipta alam semesta.

Seterusnya Nabi Musa melambangkan pemuda perkasa kerana keberanian beliau menentang Firaun dan bala tenteranya. Perjuangan Nabi Musa sebagai anak angkat Firaun bersama saudaranya Harun, melambangkan perjuangan golongan bawahan menentang golongan atasan. Allah membantu perjuangan Nabi Musa dengan meneggelamkan Firaun bersama tenteranya kedalam Laut Merah.

Nabi Isa melambangkan orang tua yang lembut dengan sikapnya yang sopan santun, menyebarkan kedamaian dan kasih saying kepada kaumnya. Meskipun pada waktu itu, beliau berusia 33 tahun dan tidak berkahwin, kedewasaan dan kelembutannya mengagumkan. Allah memberi beberapa mukjizat kepada Nabi Isa. Dengan mukjizat itu, beliau mampu menyembuhkan orang sakit dan menghidupkan orang yang sudah mati. Sewaktu Nabi Isa masih bayi, beliau dapat berkata-kata sewaktu mempertahankan kesucian ibunya. Apa yang lebih utama adalah kurniaan kitab Injil kepadanya.

Akhirnya, Nabi Muhammad menjadi penyempurna dan pelengkap semua peribadi para rasul Allah. Beliau berperanan menyampaikan kepada umatnya bagaimana mereka perlu membina sikap yang baik mengikut sikap para rasul atau lebih spesifik lagi, Nabi Muhammad mencipta formula pengurusan bagi mengolah keseimbangan antara kebenaran, kasih saying, kebaikan dan keindahan.

No comments:

Post a Comment